Setelah beberapa kali Proton e.MAS 7 membuat penampilan pada awam dengan balutan grafik bertema penuh dan kali ini, PROTON mendedahkan sepenuhnya barisan varian, spesifikasi dan juga harga jualan bagi model Proton e.MAS 7 ini.
Sebelum kita bercerita mengenai perkara tersebut, kita recap semula informasi mengenai e.MAS 7 ini dimana pertama sekali EV ini dipasarkan sebagai sebuah kereta SUV Segmen-C.

Untuk mudah faham, jika terdapat digit ‘7’ dalam nama model PROTON, maka ia adalah segmen-C, contohnya seperti sedan Proton S70 dan SUV Proton X70.
PROTON e.MAS 7 menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) baharu dari Geely, hasil pembangunan bersama Geely.
Ia mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm, dan e.MAS 7 ini menawarkan ruang dalaman yang cukup luas dengan reka bentuk luaran kontemporari.

Dari segi reka bentuk luaran, ia menampilkan lampu hadapan yang agresif dan tajam yang dipadankan dengan bumper hadapan tanpa grill yang menampakkan ia lebih futuristik.
Pada bahagian belakang, eMAS 7 mengikut reka bentuk trend terkini bagi sebuah SUV yang menampilkan lampu belakang jenis panjang yang menampakkan ia lebih moden.

e.MAS 7 menampilkan sistem pemacu elektrik terkini 12-dalam-1 yang canggih, dan dilengkapi dengan seni bina bateri Cell-To-Body yang dapat memperkuatkan kekuatan struktur bateri.
Selain itu, ia juga dapat menambah keluasan ruang dalaman, meningkatkan kestabilan dalam kawalan selekoh dengan kelajuan tinggi, serta keseluruhan pengendaliannya.
Proton e.MAS 7 ditawarkan dengan dua pilihan varian iaitu e.MAS 7 Prime dan Premium yang menggunakan pek bateri Aegis Short Blade, namun berbeza dari segi spesifikasi prestasi elektrifikasi seperti berikut;
Proton e.MAS 7 Prime (dari RM109,800)
Pek Bateri - 49.52kWj
Jarak gerak (WLTP) - 345KM
Pengecasan DC - 80kW (30-80% < 20 minit)
Pengecasan AC - 11kW (30-80% < 4.9 jam)
Proton e.MAS 7 Premium (dari RM123,800)
Pek Bateri - 60.22kWj
Jarak gerak (WLTP) - 410KM
Pengecasan DC - 100kW (30-80% < 20 minit)
Pengecasan AC - 11kW (30-80% < 6.1 jam)
Pada ruangan dalaman, Proton e.MAS 7 menampilkan susun atur dashboard yang moden bertema minimalis serta menampilkan ciri-ciri yang lebih praktikal untuk beri lebih keselesaan pada pemandu dan penumpang.
Jelas dilihat adalah, suasana kemasan yang rapi dengan tona warna dalaman, Indigo Blue dimana pada bahagian dashboard, keseluruhan tempat duduk, trim pintu bewarna gelap, manakala bumbung dan tiang pillar bewarna cerah.

Suasana itu dimeriahkan dengan pencahayaan ambien 256 warna, bumbung panoramic serta fungsi praktikaliti dengan 33 ruangan simpanan termasuk ruangan but kargo pada 461 liter hingga 1877 liter.
Proton e.MAS 7 juga mempunyai audio hi-fi yang terbaik dengan pengalaman pemanduan dengan Sistem Bunyi Flyme yang canggih dengan 16 pembesar suara termasuk pada headrest pemandu.

Untuk ciri infotainmen, e.MAS 7 tampil dengan paparan 15.4 inci pada bahagian tengah dashboard dan 10.2 inci paparan instrumen panel.
Sebagai ciri keselamatan, e.MAS 7 tampil dengan enam beg udara, ciri teknologi keselamatan tertinggi ADAS tahap 2 yang menampilkan ciri seperti berikut;
Intelligent Cruise Control(ICC)
Adaptive Cruise Control(ACC)
Automatic Emergency Braking(AEB)
Forward Collision Warning(FCW)
Dynamic Brake Support(DBS)
Lane Departure Warning(LDW)
Lane Departure Prevention(LDP)
Emergency Lane Keeping Assist(ELKA)
Rear Collision Warning(RCW)
Rear Cross Traffic Alert(RCTA)
Rear Cross Traffic Braking(RCTB)
Lane Change Assist(LCA)
Blind Spot Detection(BSD)
Door Open Warning(DOW)
Setiap varian Proton e.MAS7 ditawarkan dengan lima variasi warna iaitu Turqoise Green, Platinum Silver, State Grey, Quartz Rose dan Lithium White.
Bagi setiap pembelian, pembeli e.MAS 7 bakal menerima waranti kenderaan selama enam tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti bateri dan komponen selama lapan tahun dengan had perbatuan sehingga 160,000KM.
Selain itu, pembeli bakal menerima pakej seperti;
-Pengecas rumah 7kW bernilai RM1,500
-Adaptor Vehicle-2-Load (V2L) bernilai RM500
-Pembiayaan dengan kadar faedah terendah dari 1.98%
-Lima tahun data internet tanpa had
-Tawaran rebate trade-in pemilik Proton bernilai dari RM1,200
Untuk 3000 pembeli terawal bakal menerima rebat tunai bernilai RM4,000, maka harga sempena pelancaran khas ini adalah
Prime - dari RM105,800
Premium - dari RM119,800
