Hyundai IONIQ 9, SUV besar bumbung ala coupé, rekaan aerodinamik Cd 0.259

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai IONIQ 9 2025 Korea
Hyundai IONIQ 9 2025 Korea
Dari model hibrid, Hyundai mengembangkan IONIQ kepada sejumlah model elektrik (EV).

Kini ada tiga model iaitu IONIQ 5, IONIQ 6 dan terbaru IONIQ 9.

Daripada tiga model tersebut, IONIQ 9 dibangunkan sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz besar.

Walaupun begitu, bentuknya berbeza daripada SUV besar termasuk saudara sebumbung Kia EV9.
CHERY Tiggo 7 Pro MREC Banner Campaign November 2024
JAECOO OMODA C9 MREC Banner Campaign December 2024
Hyundai IONIQ 9 2025 Korea

 

Rupa depan kelihatan normal walaupun berunsur unik dan perhatikan bagaimana bumbung menyondong ke bawah ala coupé.

Bahagian sisi atau bahu belakang pula mengembang dan perhatikan juga riasan tiang D. Di dalam satu kereta, Hyundai mengadun banyak perkara. 

Diperkenal secara rasmi pada November 2024, Hyundai kini mula mengambil pesanan awal dari pelanggan di Korea Selatan.

Model andalan dalam siri IONIQ ini dibangunkan dari pelantar E-GMP yang turut diguna model EV lain dalam kumpulan Hyundai.

 

Hyundai IONIQ 9 2025 Korea

 

Hyundai merekabentuk IONIQ 9 dengan bentuk aerostatik yang mengoptimumkan aliran udara dan hasilnya memberangsangkan.

Dengan menggunakan pelbagai elemen rekaan dan teknologi bagi memaksimumkan prestasi dan kecekapan, IONIQ 9 mempunyai kadar pekali seretan (Cd) 0.259.

Kadar itu paling tinggi di antara SUV besar (versi rim 19 inci, 2WD, cermin sisi digital).

IONIQ 9 turut dilengkapi kepak udara aktif dua pergerakan pada bahagian bawah bampar depan untuk meminimumkan rintangan udara.

 

Hyundai IONIQ 9 2025 Korea

 

Lampu depan seperti susunan mozek kecil yang dipanggil parametric pixel merupakan ciri utama pada siri EV IONIQ.

Bahagian belakang turut mengulangi lampu parametric dan buat kali pertama untuk Hyundai dilengkapi antena jenis tersorok.

Dalaman kereta memiliki ruang yang luas hasil dari jarak roda panjang dan lantai rata sehingga ke kerusi baris ketiga.

Bukti saiz IONIQ 9 ditunjukkan pada ukuran panjang 5,060 milimeter (mm), jarak roda 3,130 mm, lebar 1,980 mm dan tinggi 1,790 mm.

 

Hyundai IONIQ 9 2025 Korea

 

Untuk pasaran Korea, Hyundai menawarkan tiga jenis enam tempat duduk dan satu jenis tujuh tempat duduk.

Kerusi baris pertama dilengkapi fungsi urutan, perehat kaki dan kerusi ergo-motion untuk pemandu.

Model dengan enam tempat duduk dilengkapi kerusi rehat premium, kerusi boleh laras dan lipatan 6:4 untuk model tujuh tempat duduk.

Konsol Universal Island 2.0 boleh ditolak ke belakang sehingga 190 mm. 

Di sebalik bahagian luar dengan pelbagai unsur, dalaman IONIQ 9  tampil ringkas dan ala ruang tamu. Skrin panjang berukuran 12.3 digital dan dalam bentuk melengkung.

 

Hyundai IONIQ 9 2025 Korea

 

Ciri-ciri Hyundai IONIQ 9 Korea:

  • Bateri 110.3 kWj.
  • Varian 2WD dengan motor belakang menghasilkan 160 kW, tork 350Nm
  • Penggunaan kadar elektrik 4.3 km/kWj, jarak pemanduan sehingga 532 km (rim 19 inci).
  • Varian AWD berkuasa 226 kW, 605Nm.
  • Penggunaan kadar elektrik 4.1 km/kWkj, jarak pemanduan sehingga 503 km.
  • Varian Performance AWD berkuasa 315 kW, 700Nm.
  • Penggunaan kadar elektrik 4.1 km/kWj, jarak pemanduan sehingga 501 km (rim 21 inci).
  • Sistem pengecasan ultra pantas 400/800, 10 - 80% dalam masa 24 minit (pengecas 350 kW).
  • Slot USB Type-C 100W.
  • Fungsi V2L.
  • Sistem pembersihan kamera.
  • Cermin sisi kompak.
  • Cermin pandang belakang digital.
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Depan, Bantuan Pengekalan Tersasar Lorong, Bantuan Had Kelajuan Pintar dll

IONIQ 9 ditawarkan daripada 67.15 juta won (RM205,607) untuk model Exclusive (tujuh kerusi sehingga 79.41 juta won (RM243,201) bagi varian Calligraphy (enam kerusi).

Harga boleh menjadi lebih rendah selepas subsidi pembelian EV di Korea.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Hyundai IONIQ 9 2025 Korea