Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia menunjukkan pengurangan 78,798 saman atau 43 peratus dalam operasi berkenaan.
Katanya, terdapat enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 ialah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan alat komunikasi atau telefon bimbit.
"Saman memandu melebihi had laju mendahului enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 sehingga semalam yang membabitkan jumlah saman paling tinggi sebanyak 44,940 saman.
"Ini diikuti dengan saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 2034 saman, memandu menggunakan alat komunikasi (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) diikuti memotong garisan berkembar (321),"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Advokasi Op Selamat 23/2025 sempena Tahun Baharu Cina di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Satu, JSPT, Datuk Mohd Nasri Omar dan Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.
Mohd Yusri berkata, Op Selamat 23/2025 yang dilancarkan pada 28 Januari yang lalu akan berakhir pada hari ini bertujuan untuk meminimumkan kes kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik serta mencegah jenayah pecah rumah ketika musim perayaan.
Katanya, pelaksanaan Op Selamat 23 adalah di bawah JSPT di seluruh negara dan turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk menyelaraskan operasi terbabit dengan tema 'Rumah Selamat dan Selamat Sampai Ke Destinasi'.
"Untuk Op Selamat kali ini, pihak JSPT telah menugaskan 3609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan Op Selamat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif.
"Kita lihat hari ini yang juga hari terakhir Op Selamat, jumlah kenderaan semakin meningkat dari arah utara ke selatan," katanya.
SUMBER : HarianMetro