Pakar - Projek ECRL wajar disambung ke Johor penuhi potensi JS-SEZ

oleh Penyumbang Rencana|
foto Malay Mail
Negeri-negeri di Pantai Timur akan mempunyai akses dan kesalinghubungan yang lebih baik jika Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap pada akhir 2026 disambungkan ke Johor dari Kuantan susulan pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), baru-baru ini.

Jika ia direalisasikan, kawasan Pantai Timur bukan sahaja mempunyai akses dengan hab ekonomi di Lembah Klang, tetapi juga dengan hab ekonomi yang sedang berkembang pesat ketika ini iaitu Johor.
CHERY Tiggo 7 Pro MREC Banner Campaign November 2024
JAECOO OMODA C9 MREC Banner Campaign December 2024

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim, berkata jika ECRL disambungkan ke Johor, ia berkemungkinan akan turut disambungkan dengan sistem KTM termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang sekali gus memperkukuhkan lagi jaringan rel yang menghubungkan negara-negara ASEAN.

"Langkah ini mungkin boleh menjadi pencetus momentum pembangunan JS-SEZ dan merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Johor, di samping membawa pembangunan di negeri-negeri di sepanjang laluan rel berkenaan serta menjana lebih banyak aktiviti ekonomi termasuk mencipta peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan mempertingkatkan pendapatan masyarakat tempatan.

"Jaringan perhubungan pengangkutan darat yang cekap seperti ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan akses kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang, ini sekali gus akan mempertingkatkan perdagangan dan memperkukuh kedudukan pelabuhan-pelabuhan di negeri Johor sekali gus mempertingkat daya saing ekonomi Johor.

"Pembangunan jaringan pengangkutan darat yang pelbagai ini juga penting untuk memastikan ketahanan ekonomi negara bertambah baik dan pengurusan risiko geoekonomi yang lebih menyeluruh di dalam ketidaktentuan geopolitik yang mempunyai kesan langsung kepada ekonomi negara individu," katanya kepada Berita Harian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, menyaksikan pemeteraian perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 di Putrajaya pada 7 Januari lalu.

JS-SEZ dijangka berperanan penting dalam memacu pertumbuhan dan mencipta pekerjaan pada 2025 dengan zon itu diunjurkan menyumbang AS$26 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mencipta 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Mengulas lanjut, Amir Fareed berkata, satu kajian analisis manfaat kos yang mendalam perlu dilakukan dengan kajian kebolehlaksanaan terutama yang menekankan aspek kelestarian dan mengkaji trend permintaan.

"Walaupun kosnya mungkin tinggi, kerajaan perlu melihat kepada gambaran yang luas dan menjangkakan pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang.

"Sambungan ECRL ke Johor mungkin boleh menjadi 'pencetus perubahan' pembangunan JS-SEZ, tetapi pada masa yang sama akan memerlukan perbelanjaan yang besar daripada kerajaan Persekutuan, sesuatu yang sukar dengan ruang fiskal yang terhad ketika ini," katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata menyambung laluan ECRL dari Kuantan ke Johor Bahru di sepanjang pantai Johor berpotensi meningkatkan hubungan serantau dan pertumbuhan ekonomi, terutamanya memberi manfaat kepada JS-SEZ.

Bagaimanapun, katanya, projek seperti ini memerlukan perancangan yang teliti, penglibatan kukuh dengan pihak berkepentingan, dan penjajaran dengan keutamaan nasional untuk membenarkan kos yang tinggi serta memastikan daya maju jangka panjang.

"Dari segi kelebihan, ia menawarkan sinergi ekonomi dengan merangsang JS-SEZ dengan memperbaiki akses kepada bahan mentah dan industri di Pantai Timur serta menyokong pertumbuhan industri berorientasikan eksport di Johor.

"Ia juga boleh mengurangkan masa dan kos pengangkutan kargo antara pelabuhan Pantai Timur seperti Pelabuhan Kuantan dan pelabuhan di Johor dan melengkapi laluan pengangkutan laut yang sedia ada.

"Projek ini boleh meningkatkan pelancongan di sepanjang pantai Johor dengan merangsang pembangunan bandar dan luar bandar di kawasan yang kurang mendapat perhatian," katanya.

Beliau berkata, dari segi cabaran, projek mega seperti itu akan memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan yang mana memerlukan pelaburan besar untuk pembinaan, pengambilalihan tanah, dan operasi.

"Kemungkinan juga akan berlaku pertindihan perkhidmatan dengan rangkaian kereta api dan jalan raya yang sedia ada.

"Terdapat potensi kesan ekologi terhadap kawasan pantai dan hutan di Johor, selain ketidakpastian dari segi permintaan kerana ketiadaan data yang mencukupi mengenai potensi permintaan kargo dan penumpang di sepanjang laluan yang dicadangkan," katanya.

Berita Berkenaan

Informasi
"Kerja pemasangan landasan sejauh 400km ini siap dua bulan setengah lebih awal, dan ia adalah…
Informasi
Sehubungan itu, menurutnya negeri Pahang khususnya telah mencatatkan status kemajuan yang…
Berita Domestik
Menurutnya, pada akhir 2026 ECRL akan siap dan beroperasi pada 2027 kemudian naik taraf jalan karak…