Polis buru lelaki bakar kereta isteri atas jalan raya

oleh Firdaus Razani|
Akibat perselisihan faham berkaitan hal rumah tangga, seorang lelaki bertindak luar batasan dengan membakar kereta isterinya di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia, Johor Bahru semalam.
CHERY Tiggo 7 Pro MREC Banner Campaign November 2024
JAECOO OMODA C9 MREC Banner Campaign December 2024

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden itu tular melalui video berdurasi 28 saat yang memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga tempatan berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.

"Kita percaya lelaki yang kita sedang buru kerana terbabit dengan insiden ini adalah suami kepada wanita berkenaan.

"Difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada jam 1.33 pagi tadi di Balai Polis Majidee di sini.

Katanya, hasil siasatan awal pihak polis dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam apabila suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum menyimbah petrol ke atas kenderaan itu.

"Suspek kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki kenderaan Toyota Vellfire.

"Kerosakan yang dialami mangsa membabitkan kerugian anggaran RM90,000, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," jelasnya.

Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline Polis Daerah Johor Bahru Selatan 07-2182323.

 

SUMBER : HarianMetro